Pembunuh George Floyd berdepan penjara 30 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Pegawai polis Minneapolis yang mengakibatkan kematian warga kulit hitam, George Floyd, tahun lalu berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

-Advertisement-

Bagaimanapun peguam tertuduh, Derek Chauvin pula memohon hukuman lebih ringan dengan mendakwa ‘kesilapan itu disebabkan tujuan yang baik’.

Dalam dokumen mahkamah menjelang keputusan 25 Jun ini, pendakwa raya menyatakan tindakan Chauvin, 45, itu sebagai ‘penyalahgunaan kedudukan yang serius’ serta ‘tingkah laku yang kejam’.

Mereka juga menyatakan Hakim Peter Cahill sudah memutuskan empat faktor membabitkan kes berkenaan, yang dilihat mampu menjadi garis panduan terhadap peraturan sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

Chauvin sebelum ini dirakam meletakkan lutut di leher Floyd, 46, selama sembilan minit sehingga mangsa pengsan sebelum meninggal dunia pada 25 Mei, tahun lalu.

-Advertisement-

Tertuduh juga mengabaikan rayuan mangsa. Video itu kemudiannya tular dan mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat serta sekitar dunia yang menentang ketidakadilan kaum serta keganasan polis.

Selepas perbicaraan berminggu-minggu, Chauvin disabitkan dengan kesalahan membunuh pada 20 April lalu dan dipenjara serta-merta.

Tuduhan paling serius yang dihadapinya adalah pembunuh peringkat kedua, yang membawa hukuman maksimum 40 tahun penjara.

Walaupun berdepan kesalahan pertama, Chauvin berkemungkinan dipenjara lebih 12 tahun mengikut pendakwaan namun tuduhan yang lebih serius juga memungkinkan dia menerima hukuman lebih lama.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427