Pembunuh Baby Zara kekal ke tali gantung, rayuan akhir ditolak

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut kerana membunuh anak asuhan isterinya berusia 11 bulan dikenali sebagai ‘Baby Zara’, enam tahun lalu.

-Advertisement-

Mangsa Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023.

Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

Kes yang paling jarang antara yang jarang berlaku

-Advertisement-

Tetralina berhujah, kes berkenaan menepati kehendak ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian jam 6.45 pagi dan didapati dalam keadaan nazak pada 1.30 tengah hari dengan kecederaan serius di kepala,” katanya.

Pendakwaan berhujah, keterangan mengatakan perayu tidak pernah membantu isterinya namun pada hari itu dia menawarkan diri memandikan Baby Zara.

Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373