KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjelaskan pihaknya tertakluk keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 walaupun sebelum itu mengumumkan Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands akan dibuka melalui gelembung pelancongan domestik mulai Jumaat ini.
MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa khas dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu adalah jawatankuasa tertinggi untuk memutuskan pembukaan sektor ekonomi dan juga sektor bukan ekonomi.
Menurut kenyataan itu, sidang jawatankuasa khas pada 22 September lalu memutuskan kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian.
“Berdasarkan rekod Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga semalam, sebanyak 85.1 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi,” katanya.
Pada 21 September lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam sidang akhbar di Parlimen, berkata Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 Oktober.
Nancy dilaporkan berkata perkara itu sudah diluluskan dalam Mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19 pada hari itu dan akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Ismail Sabri keesokannya sebelum diputuskan.
Pembukaan semula itu akhirnya terpaksa ditangguh berikutan keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang mahu kadar vaksinasi mencapai 90 peratus terlebih dahulu.
Bagaimanapun, ada pihak yang membuat dakwaan penangguhan berkenaan kononnya berpunca daripada kegagalan Gelembung Pelancongan Langkawi berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 di pulau peranginan terkemuka itu.
Sementara itu, MOTAC berkata, pada masa ini kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi sahaja dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, bagi pelancong domestik pula, mereka dibenarkan melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama bagi negeri-negeri berada dalam Fasa 2 dan ke atas berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kebenaran untuk melakukan aktiviti pelancongan adalah tertakluk SOP diwartakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. -BH