SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menafikan beliau akan bertanding di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sebaliknya, Noh memaklumkan hingga hari ini beliau belum lagi menjadi ahli mana-mana parti.
“Saya ingin membuat sedikit pembetulan di atas kekeliruan yang disiarkan beberapa portal daripada kenyataan yang saya kelmarin. Ada portal menyiarkan saya akan menjadi calon PN dalam PRN.
“Saya ingin jelaskan, untuk menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon.
“Jadi, adalah tidak betul kalau mengatakan saya akan menjadi calon dalam PRN yang akan datang ini,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Pada 27 Januari lalu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Bagaimanapun, beliau meminta untuk dipecat dan permintaan itu dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Berita Harian