JAKARTA: Pemberian bantuan sosial kepada penduduk Indonesia tidak akan menaikkan harga beras, sebaliknya ia ‘menyekat’ kenaikan harga bahan mentah itu termasuk komoditi ruji yang lain, kata Presiden Joko Widodo.
Bagi mengurangkan harga beras, beliau berkata, kerajaan menjalankan operasi pasaran termasuk mengagihkan beras kepada 21.3 juta penerima dengan setiap daripada mereka menerima 10 kilogram (kg) beras sebulan.
“Tidak, sebaliknya bantuan sosial adalah seperti operasi pasaran. Jadi dengan menyediakan bantuan sosial, permintaan daripada orang ramai akan berkurangan.
“Jika permintaan berkurangan, manakala penawaran tetap sama harga boleh turun secara teorinya. Namun ia belum berlaku,” kata pemimpin mesra dipanggil Jokowi memetik laporan portal ANTARA.
Kebelakangan ini, Jokowi mengakui harga beras agak tinggi, manakala harga cili mengalami lonjakan bermusim.
Bagaimanapun, beliau berkata, harga bawang merah, bawang putih dan telur masih stabil.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kerajaan kini sedang berusaha menurunkan harga beras yang menjadi makanan ruji buat rakyat Indonesia.
“Sehingga kini ia tidak dapat menurunkan (harga) dengan ketara, tetapi sekurang-kurangnya tidak meningkat,” katanya.
Isnin lalu, Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan, dilaporkan berkata, kerajaan melanjutkan tempoh pengagihan bantuan sosial beras sehingga Jun 2024, mulai bulan ini.
Stok simpanan beras Indonesia yang diuruskan oleh syarikat logistik milik kerajaan, Bulog, mencecah 1,442,945 tan pada 2 November lalu.
Agihan bantuan makanan pula mencapai 94.95 peratus pada September lalu, 94.89 peratus (Oktober) dan 18.45 peratus (November).
Menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, Bulog bersedia menambah ketersediaan rizab beras bagi menyokong penyaluran bantuan sosial beras.
– AGENSI
-BeritaHarian