KOTA BHARU, 16 Mac — Polis Kelantan akan mengambil tindakan saman terhadap penjual jalanan yang berniaga di persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri ini, termasuk juga pengguna jalan raya yang menjadi pelanggan mereka sekali, tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mat Piah berkata penjual dan pembeli yang dikenakan saman juga boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan denda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.
“Sebelum ini pihak kami telah beri nasihat kepada semua peniaga di jalanan ini agar tidak meneruskan lagi perniagaan mereka di kawasan lalu lintas bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun Abdullah berkata beliau akan berbincang dengan pihak trafik terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung perkara itu, dan menambah tindakan terhadap mereka dijangka akan diambil mengikut Akta Lalulintas dibawah Akta 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.
— BERNAMA