Pembantu pengadil ‘tidur’?

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Aksi antara Perak FC berdepan Penang FC di Stadium Perak, semalam bertukar ‘panas’ susulan kontroversi jaringan ketiga yang dihasilkan penyerang tuan rumah, Seo Seonung pada minit ke-75.

-Advertisement-

Hanya seminit selepas Penang FC berjaya mengurangkan defisit Alif Ikmalrizal Anuar namun mereka ‘terpinga-pinga’ apabila dibolosi kali ketiga dalam cara yang tidak disangka-sangka.

Ketika Seonung menerima hantaran Sunday Afolabi, dia dilihat sudah berada dalam keadaan ofsaid namun tetap melakukan rembatan yang menerjah gawang Penang FC.

Namun pembantu pengadil, Tuan Ahmad Razlan Tuan Ahmad Zahid tidak mengangkat bendera dan jaringan itu dibenarkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir sekali gus membuatkan pemain ‘The Bos Gaurus’ meraikan jaringan terbabit.

Insiden itu menyebabkan beberapa pemain Penang FC mengerumuni Tuan Ahmad Razlan dan Mohd Hasrol di tepi padang namun keputusan itu tidak berubah dengan Perak FC mendapat gol ketiga.

Jaringan ketiga itu jelas merentap semangat skuad ‘Harimau Kumbang’ dan keputusan 3-1 kekal berpihak kepada Perak FC yang menghimpun kemenangan keempat musim ini.

Ketika diminta mengulas mengenai jaringan kontroversi itu, jurulatih kedua-dua pasukan mengakui tidak melihat dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku di atas padang.

-Advertisement-

Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata dia hanya dimaklumkan pasukannya berjaya mendapatkan gol ketiga daripada barisan pemainnya.

“Sebenarnya saya tidak berkesempatan untuk melihat jaringan Seo itu dan saya tak tahu (gol). Jadi apabila dimaklumkan Firdaus (Saiyadi) dan Wan Zack (Haikal), saya meraikan sahaja.

“Saya tak tengok lagi gol itu cuma mungkin rezeki diberikan oleh Allah,” kata Yusri.

Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid pula menjelaskan dia sedang berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai strategi ketika jaringan kontroversi itu terhasil pada minit ke-75.

“Saya tak lihat dan saya tidak ada gambaran yang jelas kerana golnya terlalu cepat. Saya sedang bercakap dengan barisan kejurulatihan untuk cuba menyusun sesuatu untuk baki 20 minit perlawanan dan ia berlaku.

“Saya tak pasti apa yang terjadi. Kalau kedudukan 2-1, mungkin kita ada peluang yang baik (untuk bangkit)” kata Manzoor.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427