Pemandu e-hailing perlu latihan khusus bawa pesakit COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pemandu perkhidmatan e-hailing yang membawa pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), perlu diberi latihan khusus bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak itu.

-Advertisement-

Pakar kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata latihan itu penting bagi memastikan pemandu berkenaan tidak terdedah jangkitan daripada penumpang, terutama dalam situasi penularan varian membimbangkan (VOC) ketika ini.

Beliau berkata, beberapa aspek penting perlu diberi penekanan dalam latihan itu, termasuk memastikan pemandu memakai alat perlindungan diri (PPE) dan melakukan sanitasi yang betul terhadap kenderaan selepas menurunkan pesakit COVID-19.

Katanya, pemandu perkhidmatan e-hailing yang khusus bagi membawa pesakit COVID-19 juga wajar dipertimbangkan berikutan kekangan dihadapi ambulans dalam menghadapi pandemik ketika ini.

“Namun, mereka mestilah pemandu khusus yang hanya boleh membawa penumpang positif COVID-19, selain menerima latihan bagi mengelakkan turut dijangkiti.

-Advertisement-

“Bahaya jika pemandu perkhidmatan e-hailing membawa penumpang COVID-19 tanpa diberi latihan dan garis panduan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan orang ramai mengenai risiko jangkitan susulan pemandu perkhidmatan e-hailing dilihat membawa pesakit COVID-19 ke PKRC.

Menjelaskan lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, kenderaan perkhidmatan e-hailing juga perlu dilengkapi penghadang plastik bagi memisahkan pemandu dengan pesakit yang dibawa.

Beliau berkata, ia penting berikutan keadaan kenderaan yang tertutup boleh meningkatkan risiko jangkitan.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427