BALIK PULAU, 14 Dis — Peluang menyaksikan fenomena kejadian alam, pancuran Meteor Geminids yang berlaku malam tadi, sememangnya suatu yang amat berharga buat sekumpulan pelajar dan peminat astronomi di negeri ini.
Keadaan cuaca malam yang baik dan langit cerah, mengizinkan fenomena alam itu disaksikan dengan jelas oleh pengunjung yang berada di balai cerap di Pulau Betong di sini.
Pancuran Meteor Geminids yang terhasil daripada Asteroid 3200 Phaethon yang terbakar ketika memasuki atmofera bumi, dikatakan antara pancuran meteor yang paling aktif dan berlaku sekitar Disember setiap tahun.
Ahli Senior Persatuan Astronomi Pulau Pinang (ASP) Lim Choon Kiat berkata mulai tempoh antara 10 malam Ahad (13 Dis) dan 9 pagi hari ini (14 Dis), pancuran Meteor Geminids dapat disaksikan dengan jelas.
Menurut beliau, dalam keadaan cuaca yang baik, pemerhati lazimnya dapat menyaksikan kejadian kemuncak fenomena pancuran meteor tersebut.
“Untuk fenomena pancuran Meteor Geminids, kita dapat menyaksikan antara 120 dan 150 meteor per jam, sekiranya, persekitaran cuaca malam dan langit benar-benar cerah” kepada Bernama ketika ditemui di balai cerap miliknya di Pulau Betong, malam tadi.
Menurut Lim, malam tadi (13 Dis) kenampakan fenomena kejadian alam itu agak terhad kerana pada masa sama bulan baru melepasi fasa bulan penuh.
“Ketika kami memulakan aktiviti mencerap sekitar 10 malam tadi, cuaca agak mendung, namun langit beransur-ansur cerah mulai tengah malam,” katanya.
Seramai kira-kira 20 pemerhati dari ASP dan Universiti Sains Malaysia (USM) melakukan aktiviti cerapan fenomena pancuran Meteor Geminids itu.
Bercerita lanjut, Lim berkata aktiviti pencerapan pancuran meteor sebelum ini terbuka kepada orang awam sekali gus mendapat sambutan ratusan malah ribuan peminat astronomi.
“Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, kami hanya dapat mengehadkan sekitar 20 peserta yang telah pun membuat pendaftaran awal,” katanya, sambil menambah bahawa persatuan itu turut menyiarkan secara langsung fenomena Meteor Geminids itu menerusi platform media sosial.
Sementara itu, Presiden ASP Prof Dr Chong Hon Yew berkata aktiviti pencerapan pancuran meteor itu berakhir pada pukul 6 pagi tadi yang menyaksikan sejumlah 323 Meteor Geminids, termasuk 10 kejadian “bola api”.
Kejadian bola api meteor lazimnya agak terang dan hanya berlaku dan bertahan untuk beberapa saat sebelum ia menghilang.
“Beberapa ahli ASP berjaya merakam gambar dan video beberapa bola api dan meteor yang terjadi,” katanya.
Jurugambar Alex Oon, 43, berjaya merakam imej meteor bola api berwana hijau yang melewati buruj Orion.
Katanya, beliau sebenarnya hampir berputus asa dan membuat keputusan untuk pulang, lebih-lebih lagi apabila jangka hayat bateri kameranya hampir berakhir, selain kad memorinya hampir penuh.
“Bateri kamera hanya tinggal dua peratus, namun saya terus berusaha untuk merakam gambar terakhir. Saya sangat gembira kerana berjaya merakam gambar yang amat bernilai ini,” katanya.
— BERNAMA