Pelajar ke luar negara boleh mohon vaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Kumpulan remaja berusia 17 tahun yang dapat menyambung pengajian ke luar negara boleh memohon suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata bagaimanapun pihaknya kini sedang menunggu dapatan klinikal yang lebih jelas berhubung suntikan vaksin terhadap kumpulan itu, termasuk remaja berusia 12 tahun ke atas.

“Remaja yang berkeperluan sebagai contoh menyambung pengajian ke luar negara mereka boleh memohon suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa dan ia akan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau proses membaikpulih paip air dasar sungai oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Helmi Mohamed@ Harun, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Azrul Raimee Ramli.

Mengenai vaksinasi secara terus atau ‘walk-in’ di negeri lain, beliau berkata ia akan dibuka apabila proses vaksinasi di Lembah Klang mencapai tahap yang memuaskan.

-Advertisement-

Katanya, proses vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi populasi dewasa yang menerima satu dos vaksin kini sudah mencapai 64 peratus di seluruh negara, manakala sebanyak 30 peratus daripada populasi dewasa lengkap dos kedua.

“Kita masih lagi mengekalkan sasaran mencukupkan 80 peratus populasi dewasa untuk dua dos lengkap sebelum Oktober ini.

“Bagi operasi lonjakan kapasiti Lembah Klang yang menjadi keutamaan ketika ini, kita sudah hampir 100 peratus suntikan satu dos untuk populasi dewasa,” katanya.

Ahmad Amzad berkata, ada beberapa perkara sedang dalam proses akhir untuk diumumkan kementerian itu tidak lama lagi termasuk berhubung keperluan memberi suntikan ‘booster’ atau penggalak vaksin COVID-19.

“Kemungkinan kita akan mempertimbangkan dos ketiga kerana langkah ini didapati dapat membantu berdepan varian Delta yang merebak dengan pantas,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427