Pekilang mahu penguatkuasaan SOP diselaraskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa supaya tugas penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dapat diselaras dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang seragam.

-Advertisement-

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata persekutuan itu menyokong pengumuman kerajaan SOP dan penguatkuasaan pematuhannya diperketatkan lagi demi untuk memastikan jangkitan COVID-19 dapat dicegah dengan berkesan.

Beliau berkata, langkah itu juga adalah untuk memastikan peningkatan jumlah kluster tempat kerja dan pembuatan dapat dikurangkan.

FMM juga, katanya, selalu mengingatkan bahawa ini adalah usaha bersepadu daripada sektor awam dan swasta untuk memutuskan rantai jangkitan ini kerana kita semua adalah barisan depan dalam memerangi COVID-19.

“Kita semua mesti mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong usaha berterusan kerajaan melandaikan keluk COVID-19 sambil memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan negara.

“Walaupun industri menyokong keperluan kerajaan supaya mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP dan menambah jumlah agensi yang akan terbabit dalam penguatkuasaan itu seperti RELA, angkatan tentera, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak berkuasa tempatan (PBT), kami memohon supaya usaha itu diselaraskan mengikut garis panduan standard dan menepati SOP yang dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata, FMM turut menggesa supaya arahan penutupan serta merta perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan keadaan operasi perlu diambil dengan pertimbangan sepenuhnya beberapa cabaran utama dihadapi industri.

Katanya, ini termasuklah isu yang memerlukan kerjasama sepenuhnya pihak berkepentingan utama lain seperti PBT, khususnya berkaitan pematuhan Akta 446 perumahan pekerja asing.

Dalam pada itu, beliau berkata FMM menzahirkan kekecewaan apabila kerajaan tidak menyentuh mengenai pembukaan sektor ekonomi yang tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu diluluskan untuk beroperasi.

“Ini antaranya sektor tekstil, pakaian dan kasut serta keseluruhan bekalan rantaian termasuk runcit dan industri/sektor lain yang mungkin secara tidak langsung menyokong perkhidmatan perlu dan juga syarikat utama berorientasikan eksport.

“Sektor-sektor ini tidak boleh terus ditutup sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana boleh merugikan perniagaan mereka,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427