Pejabat tanah tolak permohonan penduduk Kampung Koskan Tambahan kerana rizab sungai

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) menolak permohonan penduduk Kampung Koskan Tambahan berikutan tanah berkenaan adalah rizab sungai.

-Advertisement-

Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, berdasarkan semakan, tapak kediaman yang dimaksudkan penduduk adalah tanah hak milik persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang diberimilik sejak 133 tahun lalu (21 Jun 1890).

“Pemilik asal kemudian menjual tanah ini kepada Panca Resmi Sdn Bhd (Panca Resmi) pada tahun 1991.

“PDTHS ada menerima permohonan tanah oleh penduduk, dan siasatan di tapak mendapati struktur kediaman penduduk adalah terletak atas tanah hak milik Lot 4465 GRN 322912.

“Tetapi, permohonan yang dikemukakan oleh penduduk adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga kawasan dataran banjir.

“Oleh itu, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Hanafe berkata, dakwaan penduduk kononnya kerajaan negeri memberi milik tanah rizab sungai kepada Panca Resmi adalah tidak benar.

“Tanah rizab sungai yang dimaksudkan dan tanah milik Lot 4465 GRN 322912 adalah dua tapak yang berbeza.

-Advertisement-

“Beberapa siri libat urus diadakan di antara pemilik tanah dan penduduk bagi menyelesaikan perkara ini.

“Penduduk juga ditawarkan pakej penyelesaian oleh pihak pemilik tanah. Sebahagian penduduk menerima tawaran pakej penyelesaian pemilik tanah itu, manakala sebahagian penduduk enggan menerimanya,” katanya.

Susulan itu, katanya, pemilik tanah mendapatkan perintah mahkamah untuk pengosongan tanah milik mereka.

“PDTHS ingin menegaskan bahawa pertikaian ini membabitkan pemilik tanah dan pihak penduduk.

“PDTHS berharap pertikaian antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 12 keluarga peneroka yang tinggal di kampung itu sejak kira-kira 40 tahun lalu, kecewa dan terkejut apabila menerima notis pengosongan dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Lebih mengecewakan, walaupun notis berkenaan bertarikh 18 April 2023, 12 keluarga berkenaan mendakwa menerimanya ketika umat Islam hendak meraikan Aidilfitri. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427