KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak percaya gandingan Pearly Tan-M. Thinaah mampu menyaingi pasangan China sekiranya mereka berjaya meningkatkan konsistensi taktikal dan membuat keputusan lebih pantas di gelanggang.
Menurut Rosman, walaupun pasangan nombor satu negara itu menunjukkan peningkatan dalam beberapa kejohanan sebelum ini, masih ada aspek perlu diperbaiki, khususnya dalam mengawal tekanan dan menyusun strategi ketika berdepan lawan lebih agresif.
“Mereka perlu menyelesaikan masalah dengan pantas ketika perlawanan berlangsung bagi meningkatkan peluang kemenangan.
“Jika tidak, mereka akan berdepan kesukaran menyaingi lawan yang memiliki tahap permainan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Pasangan nombor lima dunia itu sehingga kini masih dihantui rekod buruk berdepan pasangan China dengan yang terbaru menyaksikan mereka sekali lagi tewas, kali ini di tangan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian di suku akhir Masters Orleans di Perancis, awal bulan ini.
Bagaimanapun, Rosman menegaskan bahawa cabaran dalam setiap kejohanan adalah berbeza, namun aspek fizikal dan mental tetap menjadi keutamaan dalam persiapan mereka.
“Kita fokus pada kedua-dua aspek ini dan cuba memperbaikinya kerana itu adalah kunci utama kejayaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Rosman turut memaklumkan bahawa kecederaan buku lali dialami Pearly ketika saingan Seluruh England, minggu lalu tidak serius dan pemain itu dijangka kembali berlatih di gelanggang minggu depan.
Menurutnya, keputusan mengenai penyertaan Pearly di Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April ini bergantung kepada tahap kecergasannya serta perbincangan bersama pasukan kejurulatihan.
“Setakat ini, Pearly menunjukkan perkembangan baik dalam sesi pemulihan bersama ISN (Institut Sukan Negara). Kami masih memantau keadaannya dan akan menilai sebelum membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam kejohanan akan datang,” katanya.
-BeritaHarian