PBB ucap selamat berpuasa kepada umat Islam seluruh dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam seluruh dunia yang akan memulakan ibadat itu, lapor agensi berita Xinhua.

-Advertisement-

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata Ramadan kali ini sangat berbeza memandangkan ramai penduduk dunia terkesan akibat pandemik COVID-19 terutama menjejaskan acara keagamaan yang lazimnya dilakukan.

“Selain itu, ramai lagi masih berada di zon konflik termasuk menempuh peperangan dan suasana tidak aman di seluruh dunia,” katanya dalam satu rakaman video.

Guterres mengulangi gesaannya pada 23 Mac lalu, yang meminta pematuhan gencatan senjata secara global dan memberi tumpuan terhadap pembasmian pandemik COVID-19.

“Saya rayu lagi hari ini dengan mengambil petikan ayat al-Quran, jika mereka cenderung kepada keamanan, maka ia akan terjadi.

“Ramadan adalah bulan yang memupuk amalan saling membantu dan memberikan sokongan kepada yang kurang bernasib baik, itu lebih penting,” katanya.

-Advertisement-

Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada negara dan masyarakat Islam dunia yang berpegang kepada tuntutan agama supaya jangan lalai membantu mereka yang melarikan diri daripada konflik.

Katanya, tradisi Islam yang menuntut umatnya bersikap peramah dan murah hati menjadi pengajaran kepada dunia, di mana lebih ramai ‘menutup pintu’ berbanding menolong mereka yang memerlukan, walaupun sebelum krisis COVID-19.

“Dengan keadaan pematuhan penutupan sempadan negara masing-masing, mungkin ada yang tidak dapat memberikan perlindungan kepada yang memerlukan.

“Sekali lagi, saya ingin semua bertolak ansur, mempunyai belas kasihan dan solidariti bagi kita bersama-sama mengharungi saat yang sukar ini,” katanya.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427