PUTRAJAYA: Usul bagi membahas dan mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat akan dibawa ke sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini proses pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu, tidak dapat disempurnakan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri akan membincangkan usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat dalam mesyuarat Kabinet esok.
Katanya, ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
“Sebelum ini proses pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Muhyiddin berkata, selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, usul untuk membahas dan seterusnya mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat itu boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021.
-BH