KUALA LUMPUR: Senarai kesebelasan utama skuad bola sepak Malaysia ketika berdepan Taiwan yang dilihat bagaikan ‘rojak’ sedikit sebanyak menarik perhatian media negara itu yang bertanyakan mengenai isu berkenaan kepada jurulatih, Kim Pan Gon.
Pada aksi kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Taipei malam tadi, lima pemain berdarah tulen, lima pemain berdarah kacukan dan seorang pemain naturalisasi dibariskan dalam kesebelasan utama.Seorang pemain tulen dan seorang lagi pemain naturalisasi diturunkan sebagai pemain gantian selain dua pemain lagi pemain berdarah kacukan dengan seorang daripadanya meledak gol kemenangan pada aksi terbabit.
Bagaimanapun, Pan Gon membidas pertanyaan media Taiwan itu yang menganggap Malaysia menggunakan ramai ‘pemain import’ pada aksi terbabit dan faktor itu membantu kemenangan skuad negara.”Kita ada ramai pemain warisan dan mereka berdarah kacukan, jadi mereka berdarah Malaysia dan tidak boleh dianggap sebagai pemain import. Kita juga ada beberapa pemain naturalisasi.
“Tetapi lihat kepada Perancis dan perkara ini adalah trend untuk negara di mana mereka mencari pemain berdarah kacukan dan menjemput mereka menyertai pasukan untuk menguatkan skuad kebangsaan.
“Mereka membuktikan kemampuan, kesetiaan dan komitmen jadi tiada pihak yang sepatutnya mempertikai perkara ini. Perkara ini sah mengikut undang-undang dan daripada mempertikaikannya, lebih baik kita menikmati bola sepak,” kata Pan Gon.
Mengulas lanjut aksi berdepan pasukan di ranking ke-152 dunia itu, Pan Gon tidak melihat pertukaran pemain yang dilakukan menjadi punca skuad negara berjaya meraih kemenangan kedua kempen kelayakan itu.”Semua ini adalah daripada pemain yang begitu bersemangat dan bermain bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Bukan hanya kerana seseorang pemain tetapi seluruh pasukan.
“Seluruh pasukan begitu bersemangat dan mempunyai keinginan tinggi untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
-BeritaHarian