Pakar saran SJKC guna modul mudah bantu pelajar bukan Cina kuasai Mandarin

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang pakar sains politik cadang sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang majoriti pelajarnya bukan Cina menggunakan modul pembelajaran dan pengajaran (PDP) Mandarin yang mudah bagi membantu pelajar yang lemah penguasaan bahasa fasih dengan cepat dan berkesan.

-Advertisement-

Wong Chin Huat dari Pusat Jeffrey Sachs percaya ‘modul PDP bahasa Cina sebagai bahasa kedua’ yang memudahkan pelajaran bahasa itu boleh membantu pelajar lemah ‘mengejar’ tahap pelajar yang menguasai bahasa itu sepenuhnya.

Katanya, modul mudah, cepat, dan berkesan itu wajar diperkenalkan di SJKC yang mana 70-80% pelajarnya bukan Cina.

“Sememangnya wujud insan berbakat yang boleh menguasai bahasa asing dalam masa singkat, tetapi sistem pendidikan harus merancang untuk memanfaatkan majoriti pelajar yang berbakat biasa,” katanya kepada FMT.

Bagi SJKC yang majoritinya pelajar Cina, Wong cadang sekolah menyediakan program pengukuhan Mandarin berasaskan ‘modul bahasa kedua’ selepas waktu sekolah, di samping ‘modul PDP bahasa Cina sebagai bahasa ibunda’ yang lebih mendalam.

“Bagi pelajar Cina yang belajar dalam SJKC yang majoritinya pelajar bukan Cina, mereka boleh mengambil kelas tambahan yang mana PDP bahasa Cina disediakan dalam (modul) bahasa ibunda (supaya mereka dapat mendalami ilmu bahasa itu).”

Langkah ini, katanya, membolehkan ibu bapa bukan Cina meneruskan pengajian anak-anak di SJKC, di samping mewujudkan suasana aneka budaya di sekolah untuk dialami semua pelajar.

“‘Modul bahasa kedua’ di SJKC akan memperluaskan pilihan dalam pendidikan kepada ibubapa dan pelajar, dan pada masa yang sama memberikan peluang pelajar Cina untuk belajar dalam bahasa ibunda dalam suasana aneka budaya,” ujarnya.

Wong yakin langkah ini tidak akan menjejaskan penghayatan budaya Cina dalam kalangan pelajar, seperti mana pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tidak menjejaskan penghayatan budaya penuntutnya.

Standard ‘modul bahasa ibunda’ lebih tinggi

Naib Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia, Phun Teck Seng, bagaimanapun percaya ‘modul bahasa ibunda’ lebih banyak manfaatnya bagi pelajar bukan Cina kerana standardnya yang tinggi mendalamkan kefahaman pelajar.

-Advertisement-

Menjelaskan perbezaan antara dua modul itu, pelajar yang ikut ‘modul bahasa ibunda’ perlu menguasai lebih 2,500 aksara, berbanding 500 aksara ikut ‘modul bahasa kedua’.

Dari segi penumpuan pula, Phun berkata ‘modul bahasa ibunda’ tumpu pada pembacaan dan penulisan, manakala ‘modul bahasa kedua’ tumpu pada pendengaran dan lisan.

“Kita perlu menyedari tujuan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke SJKC adalah untuk penguasaan bahasa itu dengan baik,” katanya kepada FMT.

“Sekalipun akhirnya mereka cuma menguasai 50% pemahaman mengikut ‘modul bahasa ibunda’, itu jauh lebih baik daripada pemahaman 100% mengikut ‘modul bahasa kedua’ kerana standardnya lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Phun berkata data menunjukkan pelajar bukan Cina boleh menguasai pelajaran Mandarin dengan baik mengikut modul yang lebih mendalam itu.

“Kadar kelulusan purata bahasa Cina dalam SJKC selama 10 tahun ini sebanyak 93-94%, menunjukkan pelajar bukan Cina turut mempunyai penguasaan bahasa Cina asas dari segi pendengaran, lisan, pembacaan, dan penulisan,” katanya.

Dalam masa sama, Phun menyokong cadangan program pengukuhan Mandarin, mengatakan ia wajar diperkenalkan bagi pelajar awal tahun.

Phun juga menepis tanggapan ‘modul bahasa ibunda’ berperanan untuk mewariskan budaya dan tradisi Cina dalam kalangan pelajar, mengingatkan bukan itu tujuan utama SJKC.

Tegasnya, tujuan utama SJKC adalah mendidik para pelajar dan bukan untuk mewariskan budaya dan tradisi kaum.

“Lebih penting lagi, penyediaan surau bagi pelajar Islam, selain sambutan perayaan pelbagai kaum di sekolah berkenaan menunjukkan kepelbagaian budaya amat disambut baik.

“Ini menunjukkan sekolah Cina berhasrat (untuk) berfungsi sebagai institusi pendidikan berlandaskan falsafah pendidikan negara dan bukannya institusi warisan budaya dan tradisi Cina,” katanya.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427