PADU dipacu 120 pemboleh ubah tentukan belanja bersih isi rumah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lebih 120 pemboleh ubah berada dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan memacu dan menjadi ukuran kerajaan menentukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah rakyat negara ini.

-Advertisement-

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pemboleh ubah itu membolehkan inisiatif agihan subsidi bersasar dan bantuan tunai kerajaan selepas ini dibuat dengan lebih teratur, teliti dan bersasar.

“PADU mempunyai lebih 120 pemboleh ubah bagi setiap isi rumah dan membolehkan kita beralih daripada pendekatan sebelum ini yang mengikut pendapatan semata-mata kepada pendekatan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

“Maksudnya, kita melihat kepada pendapatan kemudian ditolak tanggungan, selain mengambil kira pemboleh ubah lain seperti lokasi, jarak dan harta mereka. Itu akan memberi gambaran lebih adil,” katanya.

-Advertisement-

Rafizi berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pemboleh ubah itu antara lain merujuk kepada maklumat peribadi individu, keluarga, jumlah penggajian bulanan, jumlah tanggungan semasa, hutang, liabiliti serta aset dibiayai dan dimiliki individu.

Selepas pendapatan boleh belanja bersih isi rumah baharu dilaksana, katanya, kerajaan akan memastikan sasaran bantuan itu khusus kepada kumpulan tertentu dan dengan kaedah lebih kompleks berbanding sebelum ini.

“Itu sebabnya tindakan pertama kita wujudkan PADU. Kemajuan teknologi dan sains data membolehkan kerajaan mengumpul lebih banyak maklumat.

“Kesukaran yang ada sebelum ini kerana infrastruktur pangkalan data tidak menyeluruh dan tidak memungkinkan kerajaan mengambil kira pemboleh ubah lain.

“Masyarakat dan Dewan juga maklum ada beberapa kelemahan pendekatan yang mengambil kira pendapatan semata-mata, kerana ia tidak mengambil kira pemboleh ubah lain termasuk tanggungan keluarga dan lokasi kerana kos sara hidup berbeza mengikut lokasi.

“Apabila kita bercakap mengenai subsidi petrol dan diesel secara bersasar, pertimbangan mengenai jarak dan sebagainya mesti diambil kira,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Mohd Isam, Rafizi berkata, berdasarkan Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia 2022, ia meningkat kepada RM2,589 bagi setiap isi rumah berbanding RM2,208 pada 2019, manakala nilai PGK makanan bagi mengukur miskin tegar pada 2022 adalah RM1,198 berbanding RM1,169 pada 2019.

Berdasarkan nilai PGK bagi 2022, Rafizi berkata, penemuan bagi insiden kemiskinan adalah 6.2 peratus, merangkumi 408,000 isi rumah manakala insiden kemiskinan tegar adalah 0.2 peratus yang meliputi 18,000 isi rumah, berkurang daripada anggaran satu peratus pada 2022.

“Berdasarkan laporan ini juga, pendapatan kasar isi rumah penengah atau M40 mengikut tiga kaum utama adalah RM5,793 bagi Bumiputera, RM8,167 bagi kaum Cina dan RM6,627 bagi keluarga kaum India,” katanya.

 

– BeritaHarian

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427