‘Orang kenamaan akan dipanggil beri keterangan kepada SPRM’ – Azam Baki

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi individu termasuk orang kenamaan dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat, susulan tangkapan empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa individu terbabit sebagai saksi dalam siasatan kes terbabit.

Beliau berkata, siasatan kes itu sedang dijalankan pegawai penyiasat, biarpun beberapa penahanan sudah dilakukan SPRM setakat ini.

“Ya, pastinya akan ada beberapa individu yang akan dipanggil kerana siasatan masih berjalan. Saksi-saksi ini akan dipanggil tidak lama lagi,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas siapa saksi kenamaan yang akan dipanggil dalam siasatan berkenaan.

Beliau juga enggan mengulas mengenai sejumlah rampasan wang tunai yang dilakukan oleh pegawai SPRM seperti yang didakwa di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, NST hari ini melaporkan SPRM menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST) bahawa wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi di dalam bilik di kediaman itu.

Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas, dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberapa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.

BH semalam melaporkan, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran negara yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.

Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

BH dimaklumkan, tiga daripada mereka direman sehingga esok, manakala seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang Datuk dibebaskan semalam.

Pada Januari 2024, media melaporkan bahawa SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

SPRM ketika itu juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi meneliti bagaimana kelulusan serta perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dibuat.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464