LONDON: Polis menyiasat ugutan dan kecaman ditujukan kepada pengadil Michael Oliver, menurut badan pengadil Liga Perdana Inggeris, PGMOL.
Ketika kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Wolves Sabtu lalu, Oliver secara kontroversi melayangkan kad merah kepada Myles Lewis-Skelly susulan terjahan ke atas Matt Doherty.
Selepas itu, PGMOL mengesahkan di laman X, terjahan itu dianggap sebagai “satu kekasaran serius” yang disemak oleh pengadil VAR, Darren England.
Keputusan itu mendapat kecaman teruk dengan Mikel Arteta berkata beliau menganggap keputusan itu “mengarut” dan Arsenal akan membuat rayuan.
PGMOL mengeluarkan kenyataan semalam mengutuk ancaman yang dihamburkan kepada Oliver.
Kenyataan itu menyebut: “Kami terkejut dengan ancaman dan penderaan yang ditujukan kepada Michael Oliver susulan perlawanan Wolverhampton Wanderers dengan Arsenal.
“Tiada pegawai boleh dikenakan sebarang bentuk penderaan, apatah lagi serangan keji yang ditujukan kepada Michael dan keluarganya sejak 24 jam lalu.
“Polis sedar dan sudah memulakan beberapa siasatan. Kami menyokong Michael dan semua yang terjejas serta bertekad untuk menangani kelakuan yang tidak boleh diterima ini.”
Ia bukan kali pertama polis terpaksa melakukan siasatan susulan ancaman berkaitan pegawai perlawanan berusia 39 tahun itu.
Pada April 2018, polis menyiasat mesej ugutan dihantar kepada isteri Oliver, Lucy selepas nombor telefonnya disiarkan di media sosial.
Pada masa itu, Oliver menghadiahkan sepakan penalti minit akhir membantu Real Madrid menyingkirkan Juventus daripada Liga Juara-Juara.
–AGENSI
-BeritaHarian