LONDON: Ethan Nwaneri, pemain termuda di Liga Perdana Inggeris, mungkin akan meninggalkan Arsenal untuk menyertai kelab pesaingnya.
Nwaneri mencipta sejarah apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika kemenangan 3-0 Arsenal di Brentford pada September yang ketika itu usianya 15 tahun 181 hari.
Kontrak pemain tengah itu akan tamat akhir bulan ini dan masih belum jelas sama ada dia akan menandatangani kontrak baharu.
Jika Nwaneri memutuskan untuk meninggalkan Emirates, Chelsea, Manchester City dan Manchester United sedang menanti untuk menandatanganinya.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mahu pemain remaja itu terus kekal di Emirates selepas penampilan pertamanya yang memecahkan rekod.
Walaupun Nwaneri tidak diturunkan selepas kemenangan ke atas Brentford itu, dia mengumpul 17 kap untuk skuad bawah 17 tahun England dan dua kali beraksi untuk Trofi EFL bagi skuad bawah 23 Arsenal.
Dia turut memulakan permainan ketika kekalahan 5-1 Arsenal kepada West Ham dalam aksi final Piala Remaja FA pada April.
Nwaneri adalah pemain termuda pernah beraksi dalam liga bola sepak Inggeris.
Rekod sebelum ini dipegang penjaga gol Sunderland, Derek Foster, yang berusia 15 tahun 185 hari ketika beraksi menentang Leicester pada Ogos 1964.
– AGENSI
– BH