KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menutup tirai kempen Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 dengan bergaya apabila memenangi pingat emas kedua menerusi acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita.
Pelumba berusia 22 tahun itu mencatat masa terpantas 1 minit 06.229 saat (s) yang turut menjadi rekod baharu Asia pada aksi final di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman mengatasi pelumba China, Luo Shu Yan yang meraih perak dengan catatan 1:07.365s manakala gangsa menjadi milik Hwang Hyeon Seo dari Korea Selatan (1:07.690s).
Acara 1km ujian masa diperkenalkan buat kali pertama bagi menggantikan acara 500 meter ujian masa.
Sebelum ini, Nurul Izzah turut memenangi emas dalam acara keirin wanita selain membawa pulang perak dalam acara pecut berpasukan dan gangsa pecut individu.
Dia mengulangi pencapaian edisi tahun lalu di New Delhi, India yang menyaksikan dia turut meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa.
Pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, berkata dia gembira dengan pencapaian dilakar kali ini tetapi percaya masih perlu bekerja keras bagi terus melonjakkan prestasinya terutama bagi menyaingi pelumba dari Eropah.
Nurul Izzah selepas ini akan beraksi pada saingan Piala Negara-Negara 2025 di Konya, Turkiye dari 14 hingga 16 Mac yang menghimpunkan jaguh-jaguh dunia.
“Selepas ini, saya akan beraksi di Piala Negara-Negara. Saya sedar masih banyak yang perlu saya pelajari untuk berdepan dengan cabaran pelumba dari Eropah.
“Saya perlu lebih berani, dan meningkatkan kekuatan untuk bersaing dengan pelumba bertaraf dunia.
“Saya akan meraikan pencapaian dalam kejohanan kali ini tetapi pada masa yang sama, saya akan terus meningkatkan prestasi saya,” katanya ketika ditemui selepas memenangi emas 1km ujian masa.
-BeritaHarian