Notis pengusiran tidak dilakukan ‘semberono’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN: Tindakan kerajaan Pahang mengeluarkan notis pengusiran terhadap pekebun durian Musang King di Raub bukan dilakukan secara semberono.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata sebaliknya, ia dilakukan bagi memastikan tanah milik kerajaan negeri yang diteroka secara haram untuk pertanian, perumahan atau sektor perindustrian diambil kembali demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya daripada sudut ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, seperti isu penerokaan tanah Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands, ketegasan kerajaan negeri sewajarnya diteruskan di Raub dan selepas ini di seluruh negeri itu.

Katanya, pekebun durian Musang King di Raub tiada hak untuk menentang usaha kerajaan negeri kerana mereka secara terang menceroboh tanah kerajaan negeri.

“Tanah itu adalah hak Kerajaan Pahang dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil tindakan dan mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pencerobohan tanah di Raub.

“Semoga isu berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan secara haram,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

-Advertisement-

Semalam. Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak berkenaan dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial.

Susulan keputusan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru, beliau berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

“Kerajaan negeri juga mengesahkan tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun terbabit yang meneroka tanah itu secara haram.

“Pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini (semalam), kita bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dalam tempoh segera,” kata Wan Rosdy. -BERITA HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427