KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu.
Perlantikan itu diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, menerusi satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta.
“Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan. Semoga dengan lantikan ini, beliau dapat menerajui PTPTN dalam memperkasa fungsi dan peranannya bagi mengurus pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pendidikan tinggi dengan strategik dan inovatif,” katanya.
Pada November 2021, Norliza dilantik sebagai pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA).
Norliza yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan).
Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam menerajui beberapa syarikat milik kerajaan dan swasta yang tersenarai di bursa merangkumi bidang hartanah, perkapalan dan juga universiti awam dan koperasi.
Norliza juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari 2011 hingga 2017. – Berita Harian