PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia mengulangi gesaan untuk satu undang-undang khusus buat pembantu rumah kerana peraturan sedia ada tidak melindungi mereka sepenuhnya.
Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang hanya dikenali sebagai MH, dilaporkan diselamatkan polis daripada majikan Malaysianya Selasa lalu.
Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das dan Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, pembantu rumah terkecuali daripada banyak peruntukan Akta Kerja.
Walaupun Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan garis panduan kepada majikan pembantu rumah, Das berkata, persoalan masih timbul berhubung keberkesanan peraturan itu dan mekanisme pemantauan.
“Kita memerlukan undang-undang berasingan untuk pembantu rumah yang akan melindungi mereka, walaupun sifat pekerjaan mereka rumit.
“Langkah-langkah khusus seperti memastikan mereka mendapat cuti, menyediakan nombor telefon untuk mereka hubungi bagi mendapatkan bantuan dan akaun bank adalah langkah sementara dan mereka mesti disokong undang-undang yang kuat,” katanya.
Beliau mengecam kurangnya kemahuan politik dalam melindungi hak pembantu rumah.
Sementara itu, Pereira berkata, satu undang-undang untuk pembantu rumah juga perlu memastikan mereka menerima gaji yang setara dengan beban kerja.
“Waktu kerja mereka tidak ditetapkan, bukan semuanya mendapat cuti, malah ada yang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Ini tidak sepatutnya berlaku pada 2020.”
Katanya, sistem pemantauan lebih baik dengan lebih banyak sumber dan kuasa perlu disalurkan kepada pemeriksa buruh untuk melakukan pemeriksaan lebih kerap terhadap kesejahteraan pekerja domestik. Pemeriksa buruh perlu terlatih, mampu mengenal pasti buruh paksa dan bebas rasuah.
“Kita mesti membenarkan pembantu rumah, tempatan dan asing, untuk menjadi ahli kesatuan sekerja supaya mereka dapat melindungi hak dan kepentingan mereka dengan lebih baik.”
Kes MH itu yang terbaru membabitkan majikan tempatan terhadap pembantu rumah asing.
Pada Februari 2018, seorang pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, ditemui mati di luar rumah majikannya di Pulau Pinang, dengan kepala dan muka mangsa bengkak dengan kesan luka. Kes itu mencetuskan ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia. -FMT