NGO seru maklum balas, rundingan awam berhubung tapak lupus sisa Lynas

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: NGO alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru ketelusan, maklum balas awam dan rundingan awam sebelum meluluskan sebarang kemudahan pelupusan sisa kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP).

Katanya, ia “bimbang” selepas mengetahui pengumuman Lynas baru-baru ini bahawa kerajaan Pahang meluluskan tapak pelupusan PDF di Bukit Ketam, kira-kira 30km dari Kuantan.

SAM menyatakan satu laporan berita mengatakan kelulusan itu terletak pada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan tidak ada keputusan yang dibuat.

“Kami ingin menekankan bahawa menurut undang-undang, PDF memerlukan kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta LPTA.

“Ia juga akan memerlukan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Penilaian Kesan Radiologi (RIA) di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Oleh itu, bukan sahaja LPTA yang perlu meluluskan, JAS juga mesti memberikan kelulusannya, memandangkan perlu ada penilaian alam sekitar serta penilaian impak radiologi bagi kemudahan itu,” kata presidennya, Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.

Meenakshi berkata laporan DEIA dan RIA “mesti bersama dan dilakukan dengan betul” dengan penyertaan, rundingan dan maklum balas awam sepenuhnya sebelum JAS atau LPTA memberi sebarang kelulusan.

“Ketelusan sepenuhnya dalam proses itu mesti dipastikan, terutama sejak operasi Lynas menjadi sangat kontroversi yang menerima banyak bantahan awam.

“Agensi-agensi kerajaan tidak harus berada di bawah sebarang tekanan untuk meluluskan PDF secara tergesa-gesa dan mesti memastikan semua kesihatan, keselamatan dan pertimbangan alam sekitar awam dinilai,” katanya.

Minggu lalu, Lynas, yang mengendalikan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, mengumumkan bahawa kerajaan Pahang meluluskan pembinaan tapak PDF di Bukit Ketam.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad, berkata surat kelulusan daripada kerajaan Pahang merupakan salah satu kriteria utama yang ditetapkan Putrajaya untuk pembaharuan lesen operasi loji itu.

Beliau berkata Lynas sedang bekerjasama dengan kontraktor tempatan, Gading Senggara Sdn Bhd untuk menguruskan semua aspek pembinaan dan operasi PDF. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464