WELLINGTON: Kementerian Industri Utama New Zealand hari ini memaklumkan sudah berjaya mengawal strain selesema burung H7N6 sangat patogenik yang menjangkiti sebuah ladang bulan ini.
Ketua Jabatan Veterinar, Mary van Andel, berkata ladang berkaitan dengan premis pertama yang dijangkiti virus itu sudah diuji dan kerajaan yakin virus terbabit sudah dikawal di ladang terbabit.
Beliau berkata, ladang yang dijangkiti virus itu masih di bawah kawalan ketat biosekuriti sementara menjalani proses pembersihan dan dekontaminasi.
Katanya, kerajaan juga menjalin hubungan erat bersama rakan dagang dan persetujuan dicapai dengan Australia untuk meneruskan eksport beberapa produk ayam.
“Kami berada di landasan tepat untuk membasmi penyakit ini,” katanya dalam kenyatan yang dipetik oleh laporan REUTERS.
Ladang ayam di Otago, South Island adalah premis pertama di New Zealand yang mencatatkan kes positif bagi virus terbabit, bulan ini.
Strain itu berbeza berbanding H5N1 yang merebak secara global dan menimbulkan kebimbangan mengenai penularannya kepada manusia.
Rentetan itu, New Zealand menggantung semua eksport ayam dari premis terbabit.
Sementara itu, AFP melaporkan, ladang burung di pantai timur England perlu melakukan langkah pencegahan selesema burung, bermula semalam, selepas beberapa kes membabitkan wabak terbaharu virus itu dikesan.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom (DEFRA) berkata, ‘lebih banyak’ kes selesema burung dikesan di Norfolk dan East Riding of Yorkshire, masing-masing di timur serta timur laut England, minggu lalu.
DEFRA semalam memutuskan untuk menakai burung dan melaksanakan zon perlindungan sejauh tiga kilometer di sebuah ladang di Norfolk, susulan laporan mengenai kes disyaki selesema burung patogenik tinggi (HPAI), yang lazimnya dikenali sebagai selesema burung.
Zon pencegahan selesema burung serantau dikuatkuasakan di seluruh timur England, termasuk di Lincolnshire dan Suffolk, bagi mencegah lonjakan kes.
Pihak memelihara burung di zon itu perlu memastikan haiwan ternakan mereka dikurung untuk melindungi daripada dijangkiti virus itu, mulai semalam.
Klasifikasi risiko jangkitan membabitkan burung liar di Great Britain dikategorikan semula kepada ‘sangat tinggi’, mempamerkan ia ‘hampir pasti berlaku’. Tahap risiko juga dinaikkan kepada ‘tinggi’ untuk ayam.
Penularan semasa merekodkan 11 kes strain virus H5N1, manakala strain H5N5 (satu kes) dikesan di England.
Penularan kes pertama dilaporkan pada November lalu, dan tiada kes disahkan di Scotland dan Wales, setakat ini.
-AGENSI
-BeritaHarian