New York semakin mendap kerana berat sendiri

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW YORK: Sebahagian Bandar New York dilaporkan mendap secara perlahan kerana berat bangunan pencakar langit di sana, yang semakin banyak dibina sejak kebelakangan ini.

-Advertisement-

Penyelidik berkata pemendapan itu menjadikan metropolis lebih terdedah kepada peningkatan paras laut dan banjir yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Kajian yang diterbitkan bulan ini dalam jurnal Earth’s Future, menganggarkan bagaimana infrastruktur luas bandar itu memberi kesan kepada pemendapan.

Pemendapan ini adalah kerana jisim tanah tenggelam disebabkan oleh proses semula jadi seperti hakisan atau kegiatan manusia seperti melombong mineral.

Ahli geologi menganggarkan lebih daripada satu juta bangunan di New York menambah jumlah jisim sehingga 762 bilion kilogram (kg) tekanan kepada permukaan bumi.

CNN melaporkan jumlah itu bersamaan dengan kira-kira 1.9 juta Boeing 747-400 dengan muatan maksimum.

Laporan itu menyimpulkan ibu kota pusat kewangan Amerika Syarikat (AS) itu semakin tenggelam pada kadar purata satu hingga dua milimeter (mm) setahun, malah mungkin bertambah jika pembangunan ‘hutan konkrit’ terus tidak terkawal .

Beberapa kawasan yang dibina di atas batu yang lebih lembut atau tapak pelupusan yang ditambak, tenggelam sehingga 4.5mm setahun, tambah kajian itu.

Pengarang utama jurnal Earth’ s Future Tom Parsons berkata mengurangkan pembinaan bangunan pencakar langit sekarang tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Menurut ahli geofizik di Pemantau Geologikal AS (USGS), punca utama pemendapan New York dan di sepanjang sebahagian besar Pantai Timur adalah tektonik dan ia tidak boleh dihentikan.

-Advertisement-

Pemendapan itu akan memburukkan lagi kesan kenaikan paras laut yang disebabkan oleh pemanasan suhu global dan pencairan lapisan ais dunia.

Pertubuhan Sea Level Rise.org berkata paras air di sekitar New York adalah sembilan inci lebih tinggi berbanding pada 1950.

“Kerajaan tempatan meramalkan bahawa perairan sekitar akan meningkat antara 20 sentimeter (sm) dan 76sm menjelang 2050.

“Negeri ini membelanjakan berbilion dolar untuk membina tembok laut, menaikkan jalan dan menambah baik saliran untuk mengurangkan risiko.

“Terlalu sukar untuk meramalkan, walaupun pemendapan bandar agak seragam, kadar kenaikan paras laut tidak menentu dan bergantung pada jangkaan pelepasan gas rumah hijau pada masa hadapan,” katanya kepada AFP.

New York bukan satu-satunya bandar utama dunia yang sedang mendap, sebaliknya pemendapan dan paras air yang meningkat turut mencetuskan kebimbangan bahawa Venice suatu hari nanti akan tenggelam sepenuhnya.

Sementara itu, ibu kota Indonesia, Jakarta juga semakin tenggelam pada kadar yang membimbangkan berikutan pengambilan air bawah tanah yang berlebihan sehinggakan Indonesia terpaksa memindahkan ibu kotanya.

– AFP

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427