LONDON: Gary Neville mendedahkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan terbaharunya bersama pemimpin tertinggi Manchester United.
Bekas pemain pertahanan Red Devils itu menghadiri mesyuarat Isnin lalu di London bersama Jim Ratcliffe dan ahli lembaga pengarah kelab.
Neville ditanya mengenai pertemuan itu dalam episod terbaharu podcast Stick to Football dan dilabel sebagai “orang dalam” oleh rakan podcast Ian Wright.
Namun bekas pemain berusia 49 tahun itu membalas semula tanggapan legenda Arsenal itu, mendakwa beliau tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan mengenai masa depan pengurus Erik ten Hag.
Pertemuan Neville dengan pemimpin United hadir susulan tekanan memuncak buat Ten Hag, yang menyaksikan permulaan terburuk United dalam Liga Perdana Inggeris sejak tahun 1989.
Namun pemain pertahanan yang sudah bersara itu menegaskan persembahan buruk pasukan semasa di bawah kendalian pengurus dari Belanda tidak dibincangkan pada mesyuarat itu – dan beliau hanya diminta nasihat mengenai rancangan untuk membina semula Old Trafford.
Neville bertegas dan berkata: “Saya tidak berada di dalamnya, tidak, saya tidak.
“Saya menghadiri mesyuarat pada Isnin lalu untuk bertemu mereka mengenai projek penjanaan semula.”
Apabila ditekan sama ada beliau memberikan pandangannya mengenai hal ehwal bola sepak, beliau membalas: “Tidak sama sekali.
“Tidak sama sekali saya bercakap mengenai hal ehwal bola sepak.
“Saya masuk bersama beberapa ahli jawatankuasa bertindak penjanaan semula dan secara umumnya bercakap mengenai perkara itu.”
-AGENSI
-BeritaHarian