Netizen mahu usia persaraan kembali 50-55 tahun, beri peluang bakat baru

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pembaca BH dalam tinjauan media sosial memilih usia persaraan dikekalkan kepada 60 tahun.

-Advertisement-

Hasil tinjauan di Twitter membabitkan 900 pengguna selama lapan jam mendapati 77 peratus bersetuju supaya umur persaraan dikekalkan kepada 60 tahun.

Sembilan peratus bersetuju supaya kerajaan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan 14 peratus lagi memberikan pandangan sendiri.

Pada Ahad lalu, Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus, dilaporkan berkata golongan pekerja perlu diberi pilihan umur bersara, sama ada 60 atau 65 tahun bagi menamatkan perdebatan mengenai had usia persaraan.

Ia susulan cadangan terbaru supaya kerajaan meningkatkan had umur bersara daripada 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun seperti dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk Singapura.

-Advertisement-

Sementara itu, pelbagai pandangan diberikan pembaca dalam ruangan komen tinjauan berkenaan.

“Sebab orang tua tak nak pencen habis anak-anak muda tiada penempatan. Jawatan-jawatan tinggi semua berat nak tinggalkan jawatan, anak muda dapat jawatan yang cikai-cikai,” kata @VirgoDesire.

“Yang lepas graduan tu nak buat apa,” kata @vsptime.

“Dah tua baik jaga cucu je. Kalau betul pun masih diperlukan buat je la jemputan. Tak payah semua nak dibantai 65, dah sampai masa berehat,” kata @MatGmadness.

Sementara itu, rata-rata komen daripada pengguna lain mencadangkan supaya umur persaraan dikurangkan ke 50 hingga 55 tahun, iaitu had umur bersara penjawat awam yang ditetapkan pada tahun 2001. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427