Nestle buka stesen transit kuarantin COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM, 4 Mac — Nestle Malaysia Bhd hari ini melancarkan Stesen Transit Kuarantin Nestle di Hotel Pegasus di sini bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan kontak rapat pesakit yang memerlukan kuarantin kendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols berkata kos stesen transit itu akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman itu yang akan memberi tumpuan kepada golongan B40 dan golongan berpendapatan rendah yang tidak berupaya atau tidak mempunyai kemudahan sesuai untuk menjalani kuarantin di rumah.

“Stesen itu akan menyediakan penginapan percuma serta makanan yang enak dan berkhasiat disediakan oleh Chef Maggi kami. Semestinya, prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi setiap masa,” katanya kepada pemberita pada pelancaran stesen transit kuarantin itu di sini hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata stesen itu memulakan operasinya hari ini dan akan dibuka selama dua bulan dan Nestle akan sentiasa memantau dan menilai keperluan untuk melanjutkan tempoh operasi dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang turut hadir pada pelancaran itu berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama swasta dan awam dalam usaha menangani jangkitan COVID-19 di Selangor.

-Advertisement-

“Ini adalah kerjasama yang pertama terjalin antara kerajaan negeri Selangor dengan pihak swasta bagi membuka pusat transit kuarantin COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Stesen Transit Kuarantin Nestle akan menumpukan perkhidmatannya kepada kontak rapat pesakit COVID-19 yang berada di kawasan tengah dan utara negeri itu manakala satu lagi pusat transit di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) akan memberi tumpuan kepada mereka yang berada di bahagian selatan.

“Mereka akan ditempatkan di pusat transit tersebut dan sekiranya didapati positif barulah akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang atau ke hospital,” katanya.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427