KUALA LUMPUR : Malaysia perlu mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutannya, menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baru beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya serta mensasarkan penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2035.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar kelestarian negara memerlukan sesuatu yang benar-benar menggoncang dan menggegarkan.
“Sesuatu yang benar-benar luar biasa dan berdampak berganda. Bukan sesuatu yang ‘incremental’ dan reaktif.
“Memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, rakyat memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata, jika tidak kerajaan yang ada hanya disifatkan tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya.
“Malaysia memerlukan tindakan agresif menangani punca perubahan cuaca. Fenomena kemarau berpanjangan, krisis air meruncing, musim hujan semakin tidak menentu, banjir luar biasa serta pencemaran pada skala mega yang akan menjadi suatu kelaziman baru jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam dasar alam sekitar kita.
“Menjadikan negara neutral karbon menjelang 2050 adalah sasaran yang tidak realistik, jika tiada perubahan radikal dalam cara kita mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan yang yang paling penting, menukar gaya hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pelajaran paling besar dari 2021 ialah Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara ancaman terhadap keselamatan insan, dengan penyebab utamanya ialah pandemik COVID-19 dan perubahan cuaca.
Kedua-duanya, kata beliau, adalah ancaman keselamatan bukan tradisional, yang sudah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negara.
“Bukan saja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan dan keusahawanan.
“Rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat. Kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan yang terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat, semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan.
“Semua ini menuntut perubahan paradigma, dalam kita mengurus dasar keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata, modernisasi aset keselamatan dan pertahanan saja, tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman itu, apa lagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa.
-BH