KUALA LUMPUR: Pusingan pertama musim bagi Kejuaraan Asia Talent Cup 2025 sudah pun melabuhkan tirainya di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand semalam.
Dua pelumba negara, Adam Danial dan Sharf Muhriz nyata berdepan pelbagai rintangan termasuk insiden serta kerosakan jentera dalam dua perlumbaan yang disertai mereka.
Perkara itu memberi iktibar kepada pasukan SIC Racing untuk terus menggiatkan usaha memperkuatkan lagi kedua-dua pelumba menjelang Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar 13 April ini.
Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui keputusan yang diraih di Buriram sama sekali tidak memenuhi jangkaan namun baginya, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Sebelum ini, keputusan yang dicatatkan dalam sesi ujian rasmi menunjukkan perkembangan positif daripada kedua-dua pelumba. Namun, pada hari perlumbaan, mereka tidak berjaya menampilkan prestasi sebenar yang diharapkan.
“Sehubungan itu, saya dan pasukan akan terus berusaha keras untuk meningkatkan persiapan serta memperkukuhkan latihan supaya kedua-dua pelumba lebih bersedia dan mampu memberi saingan sengit di Pusingan 2, yang dijadualkan berlangsung di Qatar pada April ini,” kata Zulfahmi.
Pada Perlumbaan 1, kedua-dua pelumba terbabit dalam kemalangan dengan dua pelumba Indonesia, Alvaro Mahendra dan Davino Britani yang menyaksikan jentera ditunggang Adam terbakar.
Kedua-dua pelumba yang tidak mengalami kecederaan serius itu dibenarkan menyertai Perlumbaan 2.
Adam menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 namun nasib sekali lagi tidak memihak kepada Sharf apabila dikenakan Long Lap Penalti kerana ‘Irresponsible Riding’ sebelum jentera ditunggangnya mengalami isu teknikal dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan.
-BeritaHarian