BEAUFORT: Selepas lima hari ‘hilang’ daripada radar penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman membuat kejutan muncul di Beaufort hari ini.
Segak berpakaian batik, beliau hadir memakai pelitup muka, memegang tongkat sambil duduk tersenyum di kerusi tetamu kehormat menunggu kedatangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah di Dataran Bagandang, pagi ini.
Kehadiran Musa itu dimanfaatkan orang ramai termasuk pemimpin tempatan dan orang kampung untuk merakam gambar dan video sambil bertanyakan khabar.
Ketika disapa Bernama, Musa melemparkan senyuman dan ringkas menjawab “Saya sihat Alhamdulillah. Kamu apa khabar?”, katanya yang berasal dari Kampung Bingkul, lima minit dari pekan Beaufort ini.
Musa pada 29 Julai, menggegar landskap politik Sabah apabila mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Situasi itu seterusnya menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan ketua menteri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 12 September sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 26 September ini.
– BERNAMA