KUALA LUMPUR: Atlet terjun wanita negara, Leong Mun Yee tetap kekal positif menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan biarpun dia dan pasangannya Pandelela Rinong gagal menaiki podium pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun, minggu lalu.
Gandingan sensasi negara itu terpaksa akur apabila sekadar menamatkan saingan 10 meter (m) platform seirama di tempat keempat dengan 288.36 mata.
Pingat emas acara itu dimenangi gandingan Kanada, Caeli McKay-Meaghan Benfeito yang mengumpul 305.94 mata manakala Lois Toulson-Eden Cheng dari Britain meraih perak dengan 302.88 mata dan gangsa menjadi milik pasangan Jerman, Tina Punzel-Christina Wassen yang mengumpul 292.86 mata.
Bagi Mun Yee, secara keseluruhannya dia merasakan prestasi mereka tetap baik mengambil kira selepas setahun lebih tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif.
“Namun, saya percaya kami boleh melakukan yang lebih baik lagi. Ini adalah kejohanan pertama kami selepas lebih setahun, ada rasa sedikit tekanan dan gementar.
“Apapun, kami akan terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Olimpik nanti,” katanya kepada BH Sukan.
Sebagai rekod, Mun Yee pernah memenangi pingat perak dalam acara itu bergandingan bersama Cheong Jun Hoong pada edisi 2014 di Shanghai.
andingan Pandelela-Jun Hoong pula berjaya memenangi perak pada Olimpik Rio 2016.
Dalam pada itu, berkongsi pengalaman beraksi dalam kejohanan dengan norma baharu, Mun Yee, berkata prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sangat ketat.
“Kami perlu melakukan ujian calitan setiap malam. Kami tidak dibenarkan langsung keluar dari hotel, ke lobi pun tidak boleh.
“Apabila tiba di kolam renang (Pusat Akuatik Tokyo), kami perlu ikut SOP yang sudah ditetapkan. Saya percaya Olimpik nanti pun akan menggunakan SOP yang sama seperti ini,” katanya.-BH