Muhyiddin dakwa Kerajaan Perpaduan bakal tumbang

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah dilihat ‘kacau bilau’ dan tidak akan bertahan lama.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, UMNO yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat menjadi liabiliti kepada kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak bila UMNO sebulu dengan DAP? Dari dulu sampai sekarang, jika sebut UMNO dengan DAP, no way… no go (tidak akan berbaik antara kedua-duanya).

“Tetapi sekarang yang ini sudah berlaku… sudah timbul kacau bilau politik dalam PH dan BN, jika parti yang mendukung Kerajaan Pusat begitu keadaannya, zahirnya nampak berpadu, tetapi sebenarnya tidak lagi begitu, tunggu masa saja akan terburai, tersungkur jatuh.

“Kita bercakap soal situasi yang serius, keadaan yang cukup dahsyat dan cukup berat.

“Sebab itu setiap hari kita tengok Anwar buka mulut, (akan menyebabkan) saham jatuh, ringgit jatuh, semuanya jatuh. Bukan saja soal jatuh, orang pun tak percaya,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau sudah menyemak dengan beberapa rakannya di FELDA berhubung penghapusan hutang lapuk peneroka berjumlah RM8.3 bilion seperti diumumkan beliau ketika memimpin kerajaan pada 2021.

Malah, beliau juga turut mendapatkan pengesahan daripada bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh berkaitan perkara berkenaan.

“Idris sendiri mengesahkan RM8.3 bilion itu yang diumumkan dulu sudah dilaksanakan kerajaan, sudah masuk dalam penyata bulanan potongan (peneroka).

“Ada seorang (peneroka) memberitahu saya, mengenai penyata potongan yang mereka nikmati iaitu sekarang hanya perlu bayar RM165 sebulan berbanding RM400 sebelum itu, maknanya sebahagian itu sudah dilupuskan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa, kerajaan ketika ini dilihat tidak mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Justeru, beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan bakal menjadi penanda aras menerusi pungutan suara rakyat sama ada mahu mengekalkan kerajaan sedia ada atau memulangkan semula mandat kepada PN.

Katanya, pihaknya yakin ‘kuasa undi’ rakyat pada 12 Ogos ini di enam negeri itu nanti bakal membawa mesej jelas kepada kerajaan gabungan PH dan BN ketika ini.

“Kalau tunggu sebulan dua mungkin boleh lagi, tetapi kalau setahun dan lebih, saya tak tahulah apa akan berlaku, jadi PRN ini adalah pungutan suara rakyat dan mereka perlu berikan mesej jelas dengan memilih PN,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464