Mufti Perlis saran KKM tangguh dos penggalak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) wajar menangguhkan pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 kerana dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.

-Advertisement-

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata penangguhan berkenaan perlu mengambil kira satu kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan.

“Saya ingin mencadangkan agar KKM menangguhkan pemberian dos ketiga sehingga dikeluarkan dengan jelas siapa yang tidak wajar mengambil dos ketiga ini kerana dibimbangkan kesan yang serius.

“Saya tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang sudah mengurangkan risiko COVID-19, tapi saya bercakap apa yang sedang dialami oleh ramai pada dos yang ketiga ini.

“Penafian atau ‘state of denial’ tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka dan biarlah ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Asri berkata, sudah banyak aduan mengenai kesan yang serius selepas pengambilan dos ketiga vaksin COVID-19.

“Jika dinilai, ia bukan kisah dongeng tapi memang ramai yang mengalami atau melihat sahabat atau ahli keluarga alami dan tidak guna untuk menafikan.

“Memang benar, majoriti yang ambil tiada masalah malah saya dah ambil dos ketiga pun tiada masalah. Ibu saya pun ambil, tiada masalah. Alhamdulillah,” katanya.

-Advertisement-

Dr Mohd Asri berkata, namun begitu, ramai juga yang datang berjumpa dengannya menceritakan kesan yang mereka alami.

“Ada mendakwa kematian berlaku mengejut selepas dos ketiga itu diambil dan oleh kerana mereka ini adalah orang kampung, mereka tiada saluran aduan rasmi untuk diajukan.

“Walaupun secara perbandingan peratus mereka yang mendapat mudarat lebih kecil dibandingkan yang sihat, namun, setiap keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, wujud kebimbangan pada orang ramai termasuk Dr Mohd Asri sendiri selepas bapanya dimasukkan ke hospital sejak lebih seminggu lalu, selepas keadaan kesihatan bapanya itu dilihat semakin teruk selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

Dr Mohd Asri mendakwa bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 yang ketiga.

Malah, seorang doktor menyatakan kepadanya bahawa bapanya sekali lagi diserang angin ahmar di bahagian sensitif kepalanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427