KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mendapat tonik tambahan menjelang aksi di Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini apabila dia turut akan ditemani jurulatihnya, Ken Harnden.
Harnden, 50, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 bagi acara 400 meter (m) adalah individu yang bertanggungjawab membimbing Azeem di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berkata pihaknya akan menerbangkan Harnden dari AS bagi membantu Azeem dalam usaha pemegang rekod kebangsaan acara 100m itu melakar keputusan terbaik di Pattaya.
“Harnden akan terus ke Pattaya pada 9 Julai manakala Azeem pula akan tiba bersama atlet olahraga negara yang lain pada 10 Julai.
“Ini sememangnya adalah perancangan yang sudah disusun sebelum ini oleh MSN untuk Azeem. Kami berharap dengan kehadiran jurulatihnya dari AS, ia dapat membantu Azeem untuk meraih keputusan yang positif pada Kejohanan Asia nanti,” katanya.
Sejak berada di bawah bimbingan Harnden awal tahun ini, Azeem mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 60m dalam dewan iaitu di Kejohanan 2023 Texas Tech Open dan Kejohanan Tiger Paw Invitational, South Carolina dengan catatan masa 6.62 saat (s) untuk memadamkan rekod miliknya 6.63s.
Dia juga mencatatkan masa terpantas iaitu 10.04s di Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.
Azeem berpotensi untuk menaiki podium di Kejohanan Asia kali ini berdasarkan rekod ranking 100m Asia 2022 yang menyaksikan dia berada di kedudukan kelima dengan catatan rekod kebangsaan 10.09s yang dilakukannya ketika Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.
Yupun Abeykoon dari Sri Lanka memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.
Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga, dengan catatan 10.02s.
Di Pattaya, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.
– BH