MRT Laluan Putrajaya belum dapat atasi kesesakan – Loke

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pertengahan Mac lalu masih belum dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak.

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata operasi masih pada peringkat awal untuk melihat keberkesanan laluan itu dalam mengurangkan kesesakan trafik.

“Keadaan kesesakan terutama bulan Ramadan ini, pada waktu puncak agak kritikal lagi, termasuklah di Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Kuala Lumpur- Sungai Besi. Kawasan yang agak kritikal yang saya tahu setiap hari waktu puncak pagi dan petang masih berlaku kesesakan teruk.

“Jadi, saya tidak hendak katakan laluan MRT itu sudah berjaya kurangkan kesesakan. Belum lagi kerana masih peringkat awal.

“Tetapi kita lihat trend jumlah penumpang itu akan terus meningkat. Semasa dua minggu pertama kita beri perkhidmatan percuma, jumlah penumpang mencecah 100,000 setiap hari, apabila mula kutip tambang pada 1 April lalu, jumlah penumpang lebih kurang 80,000.

“Jadi itu perkara biasa. Kalau percuma, memang ramai orang akan guna,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di sini hari ini.

-Advertisement-

Loke berkata, pihaknya menyasarkan laluan terbabit digunakan 200,000 penumpang sehari.

“Jadi, setakat ini 80,0000 masih hanya 40 peratus. Kita boleh naikkan lebih 200,000 kapasiti untuk jajaran Putrajaya ini. Jadi, kita harapkan ini ambil sedikit masa untuk tingkatkan jumlah penumpang. Memang dalam semua perkhidmatan rel, ini perkara biasa … masa diperlukan,” katanya.

MRT Laluan Putrajaya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Serdang pada 16 Mac lalu.

Dibina dengan kos RM30.53 bilion, MRT Laluan Putrajaya mempunyai 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dengan 10 stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan rel sedia ada.

Sebanyak 17 stesen dilengkapi kemudahan tempat letak kereta yang menyediakan sejumlah 5,878 petak parkir. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427