Monsun Barat Daya diramal bermula minggu depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini, menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah. berkata sepanjang Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

“Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak dan keadaan ini menyebabkan taburan hujan lebih rendah.

-Advertisement-

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah, terutama awal pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Monsun Barat Daya, jerebu juga boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak terkawal terutama antara Julai hingga September.

Katanya, pembakaran terbuka perlu dielak bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar manakala orang ramai dinasihat supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427