PUTRAJAYA, 19 Feb — Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.
Mahkamah bagaimanapun berkata ia berpandangan responden kedua, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan tidak bersalah menghina mahkamah kerana ia tidak berpuas hati kes terhadap lelaki itu telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel tujuh hakim memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, beliau berkata mahkamah mengambil kira bahawa Mkini Dotcom telah meminta maaf selain kedua-dua responden (Mkini Dotcom dan Gan) memberi kerjasama kepada polis dan mahkamah-mahkamah.
“Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab kami untuk mengingatkan betapa seriusnya perbuatan menghina mahkamah sekarang yang pada akhirnya akan menjejaskan sistem keadilan di negara ini,” katanya, menambah kenyataan tersebut tersebar luas di dalam dan luar negara.
Rohana berkata kandungan yang diterbitkan itu bersifat palsu dan patut dikeji selain turut melibatkan dakwaan rasuah yang mana kesemuanya adalah palsu dan tidak benar.
Keputusan yang mendapati Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah merupakan keputusan majoriti 6-1 oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.
Hakim yang membuat keputusan menentang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan.
Ketika menyampaikan keputusan majoriti mahkamah, Rohana berkata ia mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen yang dihadapi Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, telah dibuktikan, justeru syarikat itu didapati bersalah menghina mahkamah.
Beliau berkata sukar diterima akal bahawa Mkini Dotcom yang mempunyai pasukan editorial yang berstruktur, berkoordinasi, tersusun serta hebat selain pelaporan berstruktur, tidak ternampak komen berkenaan.
“Berdasarkan hakikat portal berita responden pertama (Mkini Dotcom) memiliki jumlah pembaca yang besar serta menerima kira-kira 2,000 komen setiap hari, selain editorial mempunyai kawalan terhadap kandungan yang dipaparkan pada segmen komen, responden pertama perlu bertanggungjawab kerana mengambil risiko menyediakan platform untuk tujuan sedemikian,” katanya.
Rohana berkata Malaysiakini setidak-tidaknya harus memastikan masyarakat Malaysia didedahkan kepada perbincangan yang seimbang mengenai isu berkepentingan awam dan tidak terlibat dalam merendah-rendahkan dan memperlekehkan badan kehakiman bagi melemahkan keyakinan orang awam.
“Malaysiakini seharusnya sudah menjangkakan jenis komen yang akan menyusuli penyiaran artikel pembebasan Tan Sri Musa Aman (bekas ketua menteri Sabah) oleh mahkamah berikutan penarikan balik pertuduhan (pengubahan wang haram terhadapnya) yang malangnya secara serentak dengan penerbitan kenyataan media oleh Ketua Hakim Negara,” kata beliau.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan Malaysiakini selama lebih 20 tahun, pasukan editorial tentunya tahu tentang bahan yang diterbitkan dan dapat menjangka komen yang menyusul.
Rohana berkata Mkini Dotcom mempunyai kawalan penuh terhadap bahan yang boleh dan tidak boleh diterbitkan, justeru ia harus bertanggungjawab terhadap risiko yang menyusul daripada cara platformnya dioperasikan, serta menambah syarikat itu mempermudah penerbitan komen menghina oleh pelanggan.
Beliau berkata media meluahkan kebimbangan kes itu akan mengekang kebebasan media, namun insiden ini harus dijadikan peringatan kepada masyarakat umum bahawa penzahiran pandangan harus dilakukan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Masyarakat Malaysia tidak dikenali kerana kebiadaban, kurang sopan atau bersikap buruk. Jangan biarkan media sosial mengubah landskap sosial negara kita,” katanya.
Sementara itu, dalam penghakiman menentangnya, Nallini merumuskan Mkini Dotcom serta Gan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah kerana pemohon (Jabatan Peguam Negara) gagal membuktikan melangkaui keraguan munasabah bahawa mereka (responden) memiliki pengetahuan tentang kewujudan komen pihak ketiga serta dengan sengaja berniat menyiarkan komen-komen tersebut.
Beliau berkata Mkini Dotcom bukan penerbit semasa komen itu keluar buat pertama kali pada 9 Jun tahun lepas kerana ia tidak tahu tentangnya.
Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.
Pada 2 Julai tahun lepas, Mkini Dotcom dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh oleh Jabatan Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadap mereka.
Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili Mkini Dotcom dan Gan, sementara Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S. Narkunavathy tampil bagi pihak Jabatan Peguam Negara.
Sementara itu, Gan memberitahu pemberita kemudian bahawa Malaysiakini akan melancarkan kempen mengutip derma bagi membantu mereka mengumpulkan wang untuk membayar denda tersebut.
— BERNAMA