Misi kemanusiaan di Gaza sengaja dihalang – Agensi PBB

Estimate Reading Time: 2 minutes

GENEVA: Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNRWA), memberi amaran agensi itu berkemungkinan terpaksa menangguhkan misi kemanusiaan di Gaza berikutan percaya ada percubaan menghalang usaha murni terbabit.

-Advertisement-

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata misi kemanusiaan itu berisiko ditangguhkan adalah kerana kekurangan bahan api disebabkan wujudnya halangan dalam membawa bekalan itu ke Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, selain itu, banyak perkhidmatan disediakan UNRWA yang menyokong lebih 800,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza akibat dikepung Israel, ditutup termasuk puluhan telaga air, dua loji air dan stesen pam kumbahan.

“Saya percaya ada percubaan sengaja untuk menghalang dan melumpuhkan operasi sehingga kami berdepan risiko terpaksa menangguhkan keseluruhan misi kemanusiaan ini.

“Ia sesuatu yang melampau apabila agensi kemanusiaan terpaksa mengemis untuk mendapatkan bahan api,” katanya kepada pemberita di Geneva.

Pada masa sama, Lazzarini berkata, organisasi itu sudah membuat rayuan sejak beberapa minggu lalu untuk mendapatkan akses kepada bahan api, dan ia buat pertama kali dihantar ke Gaza, Rabu lalu, sejak tercetusnya perang Israel dan Palestin, 7 Oktober lalu.

Beliau berkata, bahan api itu membabitkan sebanyak 24,000 liter diesel untuk diisi ke dalam lori yang membawa bantuan PBB, namun ia tidak mencukupi dengan keperluan penduduk di Gaza.

-Advertisement-

“Oleh kerana kekurangan bahan api, kami tidak dapat membawa lori melintasi selatan Semenanjung Gaza walaupun ramai yang menunggu bantuan kemanusiaan itu,” katanya yang merujuk kepada lintasan Rafah dengan Mesir, iaitu satu-satunya laluan dibuka untuk bantuan.

Sebelum ini, Israel dilaporkan menghalang kemasukan bahan api import, kerana ia dikhuatiri digunakan pejuang Palestin, Hamas bagi tujuan ketenteraan.

Namun menurut Lazzarini, tanpa bahan api, pihaknya memberi amaran, ia akan menyebabkan lebuh ramai orang awam terkorban, walaupun bukan maut disebabkan serangan ketenteraan rejim Israel.

“Jika bahan api tidak dibawa masuk, kita tidak boleh mengelak daripada kenyataan bahawa orang akan mula mati kerana kekurangan keperluan itu… lebih baik bahan api itu dibawa masuk dalam tempoh segera, sebelum berlaku perkara tidak diingini.

“Kehabisan semua sumber tenaga boleh mencetuskan atau mempercepatkan kegagalan misi awam terakhir yang kita ada di Semenanjung Gaza,” katanya.

Sebelum ini, menurut syarikat telekomunikasi utama Gaza, Paltel dan Jawwal, semua perkhidmatan telekom di enklaf yang berpenduduk padat, terputus kerana kehabisan semua sumber tenaga.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427