KUALA LUMPUR, 17 Nov — Seorang ahli Parlimen mencadangkan Kementerian Pertahanan menambah bilangan anggota tentera yang bertugas di sepanjang garis sempadan Sabah/Sarawak-Kalimantan bagi membanteras kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.
Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) turut mencadangkan agar kementerian itu menambah bilangan pos kawalan sekurang-kurangnya sebanyak 25 pos atau mewujudkan satu pos bagi setiap 40 kilometer sempadan.
“Sempadan Malaysia-Indonesia di antara Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan adalah sempadan darat negara sepanjang kira-kira 1,881 kilometer dan kini dikawal menerusi 11 pos kawalan yang dibina di sepanjang garis sempadan itu.
“Hasrat kerajaan Indonesia memindahkan ibu negara mereka ke Kalimantan, serta keadaan semasa sangat genting khususnya tekanan yang dihadapi oleh rakyat Indonesia apabila dilanda COVID-19 menuntut kita supaya memperkasakan Pemerintahan Tentera Darat di Medan Timur,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata di Sarawak, seramai 221 pendatang tanpa izin ditangkap dan 29 orang diusir sejak Op Benteng dilaksanakan pada 21 Mei lalu, dan daripada jumlah itu, sembilan kes melibatkan penyeludupan 215 barang rampasan bernilai lebih RM12.83 juta. -BERNAMA