Minat buat biskut jadi perniagaan menguntungkan

Estimate Reading Time: 2 minutes

DALAM dunia perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kreativiti dan minat sering menjadi tunjang utama kejayaan.

-Advertisement-

Itulah yang berlaku kepada Pembantu Pengurus Komuniti, Siti Nur Irsalina Ismail, bersama rakan kongsi beliau, Noor Suhaida Suhaimi.

Kedua-dua usahawan berusia 29 tahun ini menempa nama dalam industri perniagaan kecil dengan memperkenalkan biskut cenderahati di bawah jenama Nadalance sejak November 2022.

Inspirasi untuk memperkenalkan Nadalance datang daripada minat yang mendalam kedua-dua usahawan ini dalam bidang pembuatan biskut.

-Advertisement-

Pada mulanya, mereka hanya mengambil tempahan ketika musim perayaan Aidilfitri.

Selepas melihat sambutan yang menggalakkan daripada rakan-rakan dan kenalan, Nur Irsalina menyedari terdapat potensi besar dalam menjual biskut sebagai cenderahati untuk majlis-majlis kecil.

“Inisiatif untuk memperkenalkan Nadalance ini hanya kerana minat kami dalam bidang pembuatan biskut walaupun kami berdua terikat dengan kerja yang tetap.

“Dengan usaha gigih dan minat yang tinggi, kami berjaya menjana pendapatan tambahan melalui kemahiran ini,” katanya kepada BH Online, baru-baru ini.

Nadalance menawarkan dua jenis biskut utama: biskut coklat cip dan double chocolate chip.

Produk-produk ini boleh didapati dalam dua bentuk – bekas yang mengandungi 45-50 keping biskut dan pek cenderahati untuk majlis-majlis kecil dengan setiap pek mengandungi tujuh keping biskut.

Selain itu, Nadalance juga menawarkan diskaun dan promosi menarik, termasuk diskaun RM5 untuk pembelian dalam bekas dan harga bermula daripada RM2.00 untuk cenderahati, bergantung kepada kuantiti yang ditempah.

Ditanya mengenai persaingan dengan jenama-jenama biskut cenderahati lain di pasaran, Nur Irsalina berkata Nadalance sentiasa memberikan biskut sampel kepada prospek supaya mereka dapat merasai sendiri keenakan biskut yang ditawarkan.

Katanya, usaha ini memudahkan mereka mendekati prospek secara lebih dekat.

“Kami aktif dalam menghasilkan kandungan di media sosial untuk menarik pelanggan di kawasan sekitar.

“Kami juga menawarkan pakej murah berserta pek percuma untuk biskut cenderahati bergantung kepada kuantiti order.

“Ini adalah kelainan yang kami tawarkan kepada pelanggan,” katanya.

Seperti mana-mana PKS lain, Nadalance juga tidak terlepas daripada menghadapi cabaran dalam perniagaan.

Bagi Nur Irsalina, masa adalah cabaran utama mereka kerana kedua-dua usahawan ini mempunyai pekerjaan tetap.

Namun, dengan minat yang kuat, mereka terus berusaha memenuhi kehendak pelanggan.

“Pengalaman dan cabaran kami sebagai usahawan kecil adalah masa. Biarpun mempunyai kerja tetap di hari biasa, dengan minat yang ada kami teruskan demi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Dengan harapan untuk melihat Nadalance berkembang dengan baik dan menjadi pilihan ramai, Nur Irsalina dan Noor Suhaida terus berusaha memajukan perniagaan mereka.

Kedua-dua usahawan ini berharap supaya Nadalance terus mendapat tempat di hati pelanggan dan menjadi pilihan utama untuk cenderahati di majlis-majlis kecil.

Ikuti akaun media sosial Nadalance di Instagram.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427