Zaman beralih, musim bertukar namun usaha-usaha untuk membanteras masalah-masalah sosial tidak tercapai sepenuhnya kerana penguatkuasaan yang terhad akibat polisi yang tidak begitu ketat. Kuala Lumpur selaku salah satu kota yang sedang maju tidak terlepas dari masalah sosial yang wujud akibat peminum arak yang kurang bertanggungjawab. Segelintir dari golongan ini juga secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam jenayah domestik dan awam yang tiada jalan penyelesaiannya.
Salah satu sebab terjadinya isu ini adalah ianya amat mudah untuk mendapatkan samsu atau minuman beralkohol di kedai-kedai berhampiran dengan kawasan perumahan. Bukan sahaja orang dewasa, malah segelintir orang-orang muda juga menjadi hamba kepada minuman beralkohol ini. Akibatnya, bukan sahaja kesihatan yang terjejas, malah mereka-mereka ini juga tercicir dari arus perubahan dan pembangunan negara kerana dikawal oleh bahana arak.
Malaysian Indian Congress (MIC) Wilayah Persekutuan selaku salah satu parti komponen yang bertanggungjawab telah giat berkempen selama beberapa dekad yang lalu untuk menghapuskan jualan samsu haram dan arak secara berleluasa di negeri ini. Malah, di bawah kepimpinan bekas Presiden Tun S.Samy Velu, parti tesebut telah memberi beberapa memorandum kepada pihak DBKL dan kementerian berkaitan untuk tujuan ini. Tambahan pula, wakil MIC dalam Lembaga Penasihat dan Lembaga Eksais DBKL sering kali mengetengahkan keperluan untuk memperketatkan peraturan penjualan samsu dan alkohol di Kuala Lumpur.
Komitmen MIC dalam isu ini telah membuahkan hasil apabila pihak DBKL memperkenalkan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) baharu pada bulan ini. Dalam garis panduan ini termaktub beberapa perkara penting, khususnya pengharaman jualan samsu sepenuhnya mulai 15 Disember 2020 dan penamatan lesen jualan liquor di Kedai Runcit berkuatkuasa 1 Oktober 2021 kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.
MIC Wilayah Persekutuan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan di atas tindakan memperkenalkan garis panduan ini kerana impaknya dalam penyelesaian masalah sosial adalah amat ketara. Penghargaan tinggi juga disampaikan kepada Tan Sri S.A. Vigneswaran, Presiden MIC dan Datuk S.Rajah, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan selaku Ahli Lembaga Penasihat dan Lembaga Eksais DBKL yang telah sama-sama berganding bahu dengan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memperkenalkan peraturan baru ini.
Bah kata pepatah, tiada gading yang tak retak dan bukan semua peraturan yang
diperkenalkan adalah sempurna. Namun, di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa, rakyat perlu yakin bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL akan memantau situasi dari masa ke semasa dan memastikan segalanya berjalan mengikut peraturan yang ditetapkan. Dalam kata lain, peraturan baru ini akan memudahkan pemantauan DBKL dan pihak berkuasa tempatan tersebut juga perlu memimpin inisiatif untuk menangani pengawalan LMK sepenuhnya tanpa mengharapkan campurtangan pihak berkuasa lain terlebih dahulu.
Bagi beberapa wakil rakyat dan ahli politik yang menentang atau mempersoalkan tindakan pengenalan peraturan baharu ini, janganlah lupa bahawa ianya adalah untuk kebaikan umum sahaja dan bukannya bertujuan politik semata-mata. Dalami perenggan-perenggan dalam peraturan baharu tersebut secara teliti sebelum bersuara. Intipatinya, bukannya penjualan LMK diharamkan sepenuhnya tetapi ianya hanya dihadkan kepada premis-premis tertentu sahaja. Malah, penjualan minuman beralkohol tertentu seperti bir dibenarkan di kedai runcit atau serbaneka selagi peraturan yang ditetapkan dipatuhi.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sama-sama kita hormati peraturan-peraturan yang ditetapkan agar kesejahteraan masyarakat sejagat dapat dipelihara demi memacu kemajuan negara.
D.R. Pala Kumaran
Ketua Penerangan,
MIC Wilayah Persekutuan