Mesyuarat Ahli Parlimen BN selesai, semua ‘tutup mulut’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 Nov 2022 (The Capital Post): Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selesai bermesyuarat berhubung isu pembentukan kerajaan dan pencalonan Perdana Menteri Ke-10, sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

-Advertisement-

Beberapa Ahli Parlimen yang dihampiri petugas media untuk mengulas hasil pertemuan lebih sejam itu bagaimanapun menutup mulut ketika ditanya jika ada calon Perdana Menteri diputuskan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum jam 2 petang ini.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang beredar meninggalkan Menara Dato’ Onn di sini, tidak memberi sebarang kenyataan kepada media dan terus menaiki kenderaannya lalu beredar.

Begitu juga reaksi Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, ketika ditanya sama ada beliau menandatangani surat akuan (SD) menyokong mana-mana nama Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri.

‘Tanya presiden (MCA),” katanya ringkas ketika beredar keluar bersama Ka Siong.

Terdahulu, Setiausaha Agong MCA, Datuk Choon Sin Woon berkata, mesyuarat sudah berakhir dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan BN hari ini.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15, Sabtu lalu. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

-Advertisement-

Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Perbincangan dan pertemuan diteruskan pagi ini dengan Ahli-ahli Parlimen BN dilaporkan masih bermesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427