PALESTIN: Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengambil langkah menangani ancaman dibuat Israel untuk menggunakan senjata nuklear di Gaza.
Al-Maliki menghantar mesej berkenaan kepada Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi berhubung kenyataan dibuat Menteri Warisan Kanan Israel, Amichai Eliyahu baru-baru ini untuk menjatuhkan bom nuklear di Semenanjung Gaza sebagai antara kemungkinan yang dipertimbangkan kerajaan dalam menangani ancaman daripada pejuang Hamas.
Al-Maliki berkata kenyataan menteri Israel itu adalah ancaman kepada semua negara dan IAEA serta negara anggotanya harus memberi perhatian segera terhadap isu itu.
Beliau menggesa kecaman antarabangsa terhadap kenyataan Eliyahu dan pelaksanaan semua langkah yang perlu untuk menghentikan ancaman jelas terhadap kehidupan rakyat Palestin dan negara jiran.
Beliau turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan itu adalah idea yang bocor daripada mesyuarat Kabinet Israel untuk memusnahkan Gaza dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Ini dianggap sebagai pengakuan rasmi Israel memiliki senjata nuklear dan senjata pemusnah secara besar-besaran. Kuasa pendudukan membangunkan senjata nuklear melalui cara yang menyalahi undang-undang dan ia menolak untuk menyertai Perjanjian mengenai Tanpa Penyebaran Senjata Nuklear,” katanya.
Al-Maliki turut mencadangkan ancaman menggunakan senjata nuklear di Gaza bertujuan meningkatkan konflik dan memperdalamkan pendudukan.
Berikutan kenyataan Eliyahu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggantungnya daripada mesyuarat Kabinet selama-lamanya.
Bekas Perdana Menteri Yair Lapid turut menggesa Netanyahu memecat Eliyahu.
Susulan reaksi terhadap kenyataannya, Eliyahu berkata kenyataan mengenai bom nuklear adalah sebagai satu metafora.
– AGENSI
– BeritaHarian