Kajang: Remaja antara empat yang ditahan polis dalam serbuan di rumah di Kampung Sungai Raya Batu 9, Cheras di sini, semalam, selepas disyaki mencuri motosikal.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kajang pada 3.30 petang.
Menurutnya, tindakan pantas polis menahan empat lelaki berusia 17 tahun hingga 20-an di perkarangan rumah dan menemui satu peket plastik lutsinar disyaki syabu dalam simpanan seorang suspek.
“Pemeriksaan kemudian dijalankan di dalam rumah berkenaan dan menemui beberapa enjin dan rangka motosikal yang dileraikan suspek.
“Soal siasat awal ke atas semua suspek mengaku terbabit mencuri motosikal di kawasan sekitar Kajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-METRO