‘Melekat pada gajet punca puluhan kedai buku ditutup’

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Budaya membaca yang didakwa semakin rendah dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa, didakwa menjadi antara faktor menyebabkan puluhan kedai buku di seluruh negara terpaksa gulung tikar tahun ini.

Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Keith Thong, menyifatkan penutupan kedai buku juga memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat terutama di luar bandar.

Beliau berkata, ia berikutan kedai buku juga menjadi antara gedung ilmu yang menjadi tempat kumpulan murid dan pelajar sekolah mendapatkan bahan bacaan.

“Kami menjangkakan bilangan kedai buku yang ditutup di seluruh negara akan meningkat pada masa depan berikutan perubahan trend masyarakat yang lebih menggemari meluangkan masa bersama gajet.

“Kebanyakan pemilik mendakwa terpaksa menutup kedai buku selepas mengambil kira perubahan teknologi pada hari ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.

“Hanya kedai buku yang berkonsep berbeza saja mampu bertahan dan menambah cawangan di seluruh negara sebaliknya kedai buku kecil dan lama menggulung tikar.

“Ia menunjukkan sesebuah kedai buku yang memiliki tarikan tambahan termasuk jualan peralatan sekolah, ruang duduk yang menarik dan sebagainya masih mendapat sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Membaca dan Pembelajaran Digital anjuran University Book Store Malaysia dan Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (JELTA) di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor (PPAJ) di sini semalam.

Keith Thong merangkap Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC) berkata, antara faktor budaya membaca yang rendah di negara kita adalah pengaruh media sosial.

Menurutnya, malah masyarakat juga mudah akses kepada bahan bacaan secara online walaupun bahan berkenaan ringkas dan kurang lengkap.

Katanya, tidak menafikan selain budaya membaca yang rendah, faktor lain adalah kuasa membeli dalam kalangan masyarakat juga semakin berkurangan.

“Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding rakyat luar negara yang gemar membaca buku dan memperuntukkan lebih banyak masa dan wang bagi tujuan itu.

“Ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih konstruktif daripada semua pihak khususnya ibu bapa untuk memupuk minat dan amalan membaca bahan-bahan bacaan berfaedah kepada anak-anak dan pelajar sekolah.

“Ia perlu bermula dari rumah dan sekolah, sebagai ibu bapa kita harus menggalakkan dan memberi sokongan kepada anak untuk membaca daripada usia kecil.

“Malah diharap kerajaan pusat memberi penekanan untuk menambah peruntukan pembelian bahan bacaan di seluruh negara demi membina modal insan berkualiti,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464