MADRID: Kecederaan penyerang Real Madrid, Vinicius Jr menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool akan meletakkan kembali Kylian Mbappe sebagai penggempur utama juara bertahan itu.
Kapten Perancis itu mengharungi permulaan sukar di ibu kota Sepanyol, selepas berpindah dari Paris Saint-Germain pada musim panas, tetapi mengakhiri kemarau jaringan lima perlawanan di Leganes pada Ahad lalu.
Mbappe memulakan aksi La Liga itu sebagai sayap kiri dan percaturan Carlo Ancelotti itu membuahkan hasil apabila dia membuka jaringan di Butarque.
Bagaimanapun peluang itu hasil gerakan Vinicius dan dengan pemain Brazil berkenaan terpaksa direhatkan lebih tiga minggu, Mbappe perlu menerajui serangan Madrid untuk perlawanan-perlawanan akan datang – bermula di Anfield esok.
Liverpool mendahului kedudukan Liga Juara-Juara dengan Madrid di tangga ke-18 selepas tewas kepada Lille dan AC Milan dalam empat perlawanan pertama mereka.
Vinicius meledak empat gol Liga Juara-Juara manakala Mbappe hanya sekali menemui sasaran di pentas Eropah musim ini.
Tujuh gol La Liga dalam 12 penampilan bukan satu pencapaian buruk, tetapi persembahan Mbappe mencetus persoalan berdasarkan reputasi bintangnya.
Kapten Perancis itu turut tercicir daripada mewakili negaranya dalam dua sesi antarabangsa terakhir.
“Saya rasa saya memberikan persembahan yang bagus, saya mula mendapat rentak dengan rakan sepasukan.
“Saya boleh bermain di setiap posisi dan saya sedia membantu pasukan serta memberikan segalanya,” kata Mbappe selepas kemenangan ke atas Leganes.
-AFP
-BeritaHarian